SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan bukti berhubung dakwaannya terhadap Tun. Dr. Mahathir Mohamad yang menggunakan kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri untuk mengkayakan diri dan keluarganya.
Anwar turut menegaskan beliau tidak mempunyai niat untuk berlawan dengan Mahathir.
“Saya tidak mahu lawan. Dia (Mahathir) meminta bukti dan saya akan tunjukkan. Tiada masalah,” katanya pada sesi dialog bersama mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Mahathir memberi tempoh tujuh hari kepada Anwar Ibrahim supaya menarik semula kenyataan fitnah dibuat beliau pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 baru-baru ini.
Notis tuntutan itu diserahkan Mahathir menerusi Tetuan Rafique melalui serahan tangan ke Pejabat Perdana Menteri.
Mahathir menuntut Anwar menjelaskan tentang tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadapnya pada kongres itu. -KOSMO!ONLINE