PETALING JAYA – Penerbit popular, Datuk A. Aida bertegas tidak akan lagi bekerjasama dengan pelakon Amelia Henderson dalam mana-mana projek penerbitan syarikatnya selepas ini.
Kata penerbit berusia 53 tahun itu, Amelia yang juga bintang Pulau kini berada dalam senarai hitam (blacklist) artis yang tidak akan diambil berlakon syarikatnya, A Aida Production Sdn. Bhd.
“Saya akan ‘blacklist’ dia seumur hidup. Takkan sama sekali bekerjasama dengannya lagi.
“Macam saya cakap, ini pertama kali jumpa artis spesis sebegini. Lain kali kalau ambil (berlakon), mungkin dia akan buat lagi.
“Jadi, saya dah tutup pintu hati saya untuk memanggilnya berlakon lagi. ‘No more’!,” tegas A. Aida kepada Kosmo! Online, sebentar tadi.
Ujar penerbit sensasi itu lagi, dia lebih rela bekerjasama dengan bakat-bakat baharu lain yang tidak menyusahkan atau menyulitkan keadaan.
“Saya nak beri peluang kepada artis-artis baharu yang tidak bermasalah. Tak nak dah artis yang esok nak ‘shoot’ (mulakan penggambaran), malamnya tarik diri. Minta maaflah,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Sivil hari ini mengarahkan Amelia Henderson atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson, 28, membayar lebih RM200,000 kerana melanggar kontrak syarikat penerbitan, A Aida Production Sdn.Bhd.
Hakim, Zulqarnain Hassan juga memutuskan supaya pelakon itu memohon maaf dan memadam semua perkonbgsian video dalam Instagram mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat milik A. Aida. – KOSMO! ONLINE