KULIM – Seorang pemuda berusia 21 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah lori di Jalan Tunku Putra-Kelang Lama di Kampung Dusun di sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Sementara seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha Y150 ZR yang merupakan remaja berusia 16 tahun cedera parah pada kepala dan kedua-dua kaki.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, hasil siasatan mendapati motosikal dinaiki dua mangsa itu dalam perjalanan dari arah Kelang Lama menghala ke pekan Kulim.
“Kenderaan dipandu lelaki berusia 29 tahun itu disyaki cuai apabila keluar dari simpang pintu masuk stesen minyak untuk membelok ke kanan menghala ke arah Kelang Lama.
“Lori tersebut kemudian dilanggar dua motosikal ditunggang mangsa yang bergerak lurus dari arah Kelang Lama ke Pekan Kulim,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, kemalangan mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan.
“Pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE