PETALING JAYA – Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. (PBRSB) pengendali restoran daging premium Me’nate Steak Hub, memiliki unit halal yang dikendalikan oleh syarikat sendiri dengan diwakili kakitangan yang berkemahiran untuk memantau dan memastikan setiap cawangannya mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Ashraf Syed Ali berkata, pemeriksaan berkala khususnya bagi memastikan garis panduan pematuhan halal tersebut perlu diadakan di setiap cawangan restoran kerana pihaknya tidak mahu menunggu kehadiran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia membuat pemeriksaan mengejut.
“Aspek halal ini menjadi tonggak utama kami dalam operasi di dapur dan kami turut mengadakan kajian dan pembangunan (R&D) sendiri dalam menghasilkan menu-menu lazat yang dihidangkan kepada pelanggan.
“Saya juga akan terbabit dalam merasa terlebih dahulu menu makanan tersebut hasil daripada R&D yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran iftar Ramadan di cawangan Me’nate di sini baru-baru ini.
Tambah Syed Ashraf, dalam keadaan ekonomi sekarang, masih banyak lagi syarikat dan restoran yang boleh dipertikaikan status halal masing-masing kerana masyarakat dibayangi dengan nama restoran dan pekerja beragama Islam sebagai barisan hadapan di premis perniagaan tersebut.
“Bagaimanapun kita tidak tahu, siapakah yang memasak dan apakah yang dimasak dan bahan apa yang digunakan untuk dihidangkan kepada pelanggan.
“Sebab itu, pensijilan halal ini penting diambil berat oleh semua pihak bagi mengelakkan ia memberi kesan sampingan kepada pelanggannya,” jelas beliau.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharu syarikat, Syed Ashraf menjelaskan, selain aktif mengembangkan rangkaian restorannya dalam Malaysia, PBRSB akan bekerjasama dengan sebuah lagi kumpulan utama dalam industri makanan dan minuman tempatan untuk membuka cawangan terbaharunya di London, United Kingdom pada tahun ini.
Beliau memberitahu, restoran baharu ini akan menawarkan sajian makanan Barat halal yang disasarkan kepada pelanggan beragama Islam di negara berkenaan kerana amat sukar masyarakat Islam menikmati hidangan stik premium berstatus halal di sana. -KOSMO!ONLINE