SEOUL – Seorang lelaki yang bertindak membakar diri di Dataran Gwanghwamun di Seoul, Korea Selatan pada Selasa lalu telah meninggal dunia di hospital keesokan harinya, lapor akhbar The Korea Times.
Menurut polis Seoul, lelaki tersebut membakar dirinya di hadapan patung Raja Sejong pada pukul 8.52 malam (waktu tempatan).
Dia segera dihantar ke hospital berdekatan tetapi meninggal dunia keesokan harinya semasa dirawat.
Polis kini berusaha mengenal pasti identiti lelaki tersebut dan punca kematian.
Api turut menyebabkan sebuah kontena berhampiran hangus. Menerusi video kejadian, asap kelihatan keluar daripada kontena tersebut.
Pada hari kejadian, Dataran Gwanghwamun sibuk dengan acara berkaitan dengan tawaran Ekspo Busan dan kontena itu disediakan sebahagian daripada acara tersebut.
Tiada mangsa lain yang cedera ketika kejadian. – Agensi