Ejekan dan hinaan ketika di bangku sekolah membuatkan wanita muda itu bangkit membuktikan siapa dirinya ketika ini.
Sering diperlekeh dan dihina rakan sebaya kerana memilih untuk tidak menyambung pengajian usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia bukanlah ‘sumpahan’ buat Suriyati Mohd. Sidek mencapai kejayaan.
Membuka cerita, dia yang mesra disapa sebagai Yat mengakui memang memilih untuk tidak menyambung pengajian disebabkan mahu bekerja membantu keluarga, selain ada perancangan tersendiri.
Katanya, disebabkan itu, dia sering dipandang enteng sesetengah rakan yang menyifatkan dirinya tiada hala tuju dan masa depan.
“Sampai sekarang saya masih ingat dan berbekas apabila selalu menjadi bahan ketawa rakan-rakan yang mahu menentukan masa depan saya.
“Kata-kata begitulah membuatkan saya tidak pernah putus asa dalam apa jua perkara yang saya lakukan.
“Seperkara lagi, dengan kata-kata nista dan perli itu jugalah membuatkan saya terus bangkit dan buktikan siapa saya sekarang,” katanya.
Tambah Yat, sejak itu, dia langsung tidak menoleh ke belakang dan memberi fokus terhadap apa sahaja bidang termasuk mengambil risiko menceburkan diri dalam perniagaan.
Meneruskan kisah, pemilik kepada produk kosmetik jenama AY Cosmetics itu berkata, satu lagi hal yang membuatkan dirinya nekad mengusahakan perniagaan adalah disebabkan mahu mengubah nasib.
Akuinya, dia berasal daripada keluarga susah.
Ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, kesusahan hidup telah mendorongnya mengubah nasib diri, sekali gus membantu menyara keluarga.
“Saya memang tidak malu mengaku bahawa saya berasal daripada keluarga yang susah.
“Sebelum ini, saya berkahwin pada usia muda dan hanya bergelar suri rumah tangga sepenuh masa.
“Keinginan dan niat untuk membantu diri sendiri dan keluarga, selain membela nasib anak-anak membuatkan saya tekad untuk keluar daripada zon berkenaan,” ujarnya yang berstatus ibu tunggal.
Ditanya mengenai sebab memilih perniagaan kosmetik, wanita berusia 27 tahun itu memberitahu, dia memang sukakan kecantikan dan mahu membantu lebih ramai wanita di luar sana kelihatan jelita.
Katanya, dia mengambil keputusan untuk memperkenalkan suplemen pemutih dan jus detox di bawah labelnya sendiri.
“Alhamdulillah, tidak sampai tiga tahun menjadi usahawan, penerimaan orang ramai dan kepercayaan mereka menjadikan saya lebih bersemangat untuk berniaga.
“Hasil wang berniaga, saya mampu membeli rumah, kereta dan mempunyai aset sendiri.
“Saya juga suka berkongsi rezeki dengan mereka (pelanggan) untuk sama-sama berniaga dan buang rasa malu serta kurang yakin jauh-jauh,” katanya yang mengidolakan usahawan dan personaliti media sosial terkenal, Irfan Khairi.
Beritahunya, hasil perniagaan yang diusahakan itu, dia boleh tersenyum apabila mampu menggaji lima orang staf tetap.
Katanya, dia juga berkongsi rezeki bersama lebih 1,000 pengedar sah jenamanya di seluruh negara.
Berkongsi mengenai perancangan masa depan, wanita kelahiran Kuantan, Pahang itu optimis mahu melebarkan sayap perniagaannya ke peringkat global.
Katanya, perancangan membawa produk miliknya ke luar negara tidak mustahil memandangkan rekod jualan pada tahun lalu mencatatkan hampir RM1 juta.