PETALING JAYA – Kerajaan mengiktiraf hak untuk kesihatan sebagai hak asasi manusia yang penting bagi mencapai kehidupan yang bermaruah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hak untuk kesihatan seharusnya dinikmati oleh setiap orang secara saksama tanpa mengira status atau sebarang perbezaan dan diskriminasi.
Kenyataan itu dikeluarkan beliau bersempena Hari Kesihatan Sedunia pada hari ini yang turut diraikan Malaysia bersama masyarakat antarabangsa.
Tambah Anwar, tema yang dipilih pada tahun ini iaitu “Kesihatan Untuk Semua” adalah selaras dengan nilai dan prinsip Malaysia Madani dan beliau turut berikrar, pentadbirannya akan terus komited memacu pelaksanaan agenda kesihatan untuk semua.
Jelas beliau lagi, perkongsian serta kerjasama erat antara kerajaan dan badan dunia seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak 65 tahun lalu akan terus diperkasa.
“Ini termasuk mempromos kesihatan, memelihara kesejahteraan serta memberi perkhidmatan kepada golongan rentan agar seluruh masyarakat boleh mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan tertinggi,” kata Perdana Menteri di akaun Twitter rasmi beliau hari ini. – KOSMO! ONLINE.