SATU persatu kisah ‘bermain wayang’ pelakon Kim Sae-ron dilondehkan media apabila tersebar beberapa keping foto memaparkan dia sedang seronok bermain judi.
Foto tersebut dirakam di sebuah tempat perjudian dan secara jelas menunjukkan muka Sae-ron yang duduk di meja tempat perjudian sedang tersenyum lebar.
Gambar tersebut sekali gus menjadi bukti dan semakin menguatkan kenyataan bahawa dia sebenarnya tidak hidup susah seperti didakwanya sebelum ini sehingga terpaksa bekerja separuh masa di kedai kopi dan bar untuk menampung kehidupan.
“Sekarang dia berjudi pula? Sudahlah, saya tak percaya lagi kisah sedih dia,” kata seorang netizen.
Sae-ron sebelum ini meraih simpati orang ramai apabila terpaksa bekerja di beberapa tempat berbeza berikutan berdepan masalah kewangan kerana kes mahkamah akibat kesalahan memandu bawah pengaruh alkohol.
Bagaimanapun, kisahnya tidak dipercayai kerana netizen mendapati dia mampu mengupah peguam handal di Korea Selatan bagi kes yang dihadapinya.
Bahkan, dia juga pernah terkantoi menipu apabila sebuah kedai kopi tampil menafikan dakwaan pelakon itu pernah bekerja di francais mereka.