NEW DELHI – Seorang isteri yang bersekongkol dengan kekasihnya telah didakwa kerana membunuh suaminya berusia 45 tahun dengan senjata tajam dan menuang garam ke badan mangsa untuk memadamkan bukti, kata seorang pegawai polis seperti dilaporkan portal berita India Today hari ini.
Insiden berlaku di Purulia, Bengal Barat pada bulan lalu apabila Judan Mahato dibunuh oleh isterinya, Uttara dan kekasihnya, Kshetrapal Mahato.
Kshetrapal yang merupakan penduduk Jaipur dan Uttara merancang untuk menghapuskan Judan supaya mereka boleh hidup bersama.
Mengikut rancangan Kshetrapal, wanita berkenaan membunuh suaminya dan menuang garam ke atas badan mangsa untuk menguraikan tubuhnya sebelum menanamnya.
Anak lelaki Budan kemudian menemui mayatnya pada 26 Mac lalu dan membuat laporan polis tentang kes pembunuhan itu.
Semasa siasatan, polis mengesyaki Uttara telah membunuh suaminya.
Polis menahan suspek dan mula menyoalnya. Wanita itu kemudian mengaku telah membunuh suaminya selepas lelaki berkenaan mengetahui isterinya mempunyai hubungan luar nikah dengan Kshetrapal.
Selepas pembunuhan itu, Kshetrapal bersembunyi di Jharkhand dan menunggu perkara itu reda namun polis mendapat tahu tentang keberadaannya dan menahan suspek kedua.
Dia telah ditangkap oleh polis Jaipur dan dihadapkan ke sebuah mahkamah daerah Purulia pada Rabu lalu. – Agensi