MELAKA – Kerajaan negeri diminta menghormati semangat keputusan yang dibuat secara bersama oleh parti-parti politik bagi menyokong meluluskan Akta Anti Lompat Parti pada Julai tahun lalu.
ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee berkata, politik Melaka berdepan kemelut akibat tindakan ‘katak politik’ yang melompat parti dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Jelas beliau, Akta Anti Lompat Parti telah diluluskan dengan sebulat suara di Parlimen pada Julai 2022 dan parti-parti politik khususnya Pakatan Harapan (PH) dan UMNO menyokong pindaan tersebut.
“Akta ini bukan hanya bertujuan menjamin kestabilan politik, tetapi memulihkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap integriti setiap wakil rakyat yang dipilih sama ada di peringkat Parlimen atau negeri.
“Walaupun Akta Anti Lompat Parti versi Melaka belum dibentang dan diluluskan, semangat keputusan menyokong seperti mana yang telah dibuat di Parlimen dan negeri-negeri lain harus dipatuhi oleh kerajaan negeri dan pemimpin politik di Melaka.
“Saya menggesa Ketua Menteri Melaka untuk mempertimbangkan semula pendirian beliau,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mempelawa dua ADUN Perikatan Nasional (PN) yang kini berstatus pembangkang menyertai kerajaan negeri perpaduan sebelum Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Julai ini.
Jika ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan ADUN Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof bersetuju menyertainya, Melaka bakal mencatat sejarah menjadi negeri sifar pembangkang.
Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak tercapai selepas Dr. Mohd. Yadzil yang juga Pengerusi PN negeri, menolak pelawaan berkenaan dan mahu kekal sebagai pembangkang. – KOSMO! ONLINE