PONTIAN – Sungai Pontian Besar di sini, menjadi sasaran kaki pancing udang galah yang boleh dijual pada harga RM80 sekilogram (kg).
Seorang pemancing, Ahmad Shah Osman, 40, berkata, dia mengisi masa lapang dengan memancing di atas Jambatan Kampung Parit Jawa yang merupakan lokasi utama kepada kaki pancing.
Katanya, selain lokasi di Kampung Parit Jawa, lokasi lain ialah di Jambatan Kampung Tanjung Air Hitam yang menggamit pemancing udang galah termasuk dari luar daerah Pontian.
“Jika kena ‘air cantik’ atau tidak keruh, ada pemancing yang boleh membawa pulang dua kilogram udang galah dan sekiranya dijual ke pasaran boleh mencecah harga RM80 sekilogram.
“Semunya bergantung kepada rezeki masing-masing, namun kesabaran bagi ‘memburu’ udang galah tidak pernah jemu, walaupun ada masanya hanya mendapat beberapa ekor sahaja,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Tambah Ahmad Shah, kebanyakan pemancing udang galah menggunakan lebih daripada satu joran bagi membolehkan mereka memperolehi tangkapan yang banyak bagi tempoh 3 hingga 6 jam.
Bagi Md. Khairudin Zakaria, 36, dia mengakui udang galah dari Sungai Pontian Besar juga mempunyai tarikan sendiri sehingga pemancing sanggup menunggu seharian apabila turun memancing.
Ujar Anuar Talib, 45, pula, dia menggunakan sampan untuk memancing udang di Sungai Pontian Besar sejak dua tahun lalu kerana lebih mudah berbanding memancing di atas jambatan.
Katanya, seperti pemancing lain, dia juga menggunakan lebih daripada satu joran supaya lebih banyak tangkapan dapat dilakukan sama ada untuk dijual atau dijadikan lauk untuk keluarga.
“Tidak dinafikan kelazatan rasa udang galah Sungai Pontian Besar ini bagi yang telah merasainya dan menjadi daya penarik seperti kami ini untuk datang memancing kembali,” jelasnya.