MARANELLO, Itali – Bekas Presiden Ferrari, Luca Di Montezemolo memberi amaran bahawa pasukan Itali itu memerlukan tempoh yang lama untuk bangkit daripada krisis prestasi selepas bergelut pada perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Montezemolo menegaskan, kegagalan Ferrari berada di podium selepas tiga pusingan perlumbaan bukanlah sesuatu yang positif, malah ‘menyakitkan’ selepas ketinggalan jauh berbanding pencabar lain.
Sebelum ini, Ferrari menjanjikan sesuatu bersama jentera SF-23 mereka selepas memperagakan aksi cukup baik pada pramusim sekali gus dilihat bakal menjadi pencabar kepada Red Bull.
Tetapi, sebaliknya berlaku kerana selepas tiga perlumbaan, Ferrari kini berada di kedudukan keempat, malah ketinggalan 97 mata di belakang Red Bull.
“Melihat kepada situasi Ferrari sekarang sangat menyakitkan. Ferrari adalah perkara penting dalam hidup saya dan ia membuatkan saya terluka. Saya kecewa melihat mereka seperti ini.
“Saya tidak rasa ia adalah krisis jangka pendek dan pastinya menjadi persoalan untuk membina semula pasukan ini. Pada pendapat saya, Ferrari harus mengumpulkan semula juruteknik terbaik,” tegas Montezemolo.
Montezemolo berjaya memastikan Ferrari berada pada zaman kegemilangannya sewaktu membentuk pasukan terbaik seperti kehadiran Michael Schumacher, Jean Todt, Ross Brawn dan Rory Byrne.
Hasilnya, Ferrari memenangi lima gelaran dunia dari musim 2000 hingga 2004 sekali gus menamatkan penantian 21 tahun pasukan itu menjulang gelaran dunia. – AGENSI