DUBAI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) – Seorang ekspatriat di UAE, Vinod Nambiar adalah salah seorang penduduk bukan Islam yang berpuasa sejak 22 tahun lalu sebagai solidariti dengan masyarakat Islam, lapor portal berita Khaleej Times semalam.
Latar belakang perjalanan puasanya bermula pada 2001 ketika dia bekerja di Malappuram, selatan India.
“Malappuram mempunyai penduduk Islam yang ramai. Pada masa itu, saya tidak tahu banyak tentang bulan Ramadan, kepentingannya dan apa yang berkaitan dengannya.
“Namun, saya suka bergaul dengan komuniti di sana. Penghuni tempat itu agak sederhana. Ia adalah kehidupan yang sederhana dan saya cuba menyesuaikan diri dengan semua orang,” katanya.
Vinod yang pada mulanya tidak menyedari bahawa umat Islam yang berpuasa tidak makan dan minum dari subuh hingga senja. Dia telah pergi mencari makanan di kampung setiap hari pada bulan Ramadan.
“Namun, semuanya tutup, tidak ada makanan. Sesetengah orang menyedari bahawa saya berasa lapar pada waktu makan tengah hari, malah ada seorang yang menjemput saya ke rumahnya pada bulan Ramadan, menawarkan saya makanan semasa mereka berpuasa.
“Bagaimanapun, saya berasa amat berat hati untuk pergi ke sana kerana saya tahu seluruh keluarganya berpuasa. Ia adalah isyarat yang baik. Tetapi, saya tidak boleh makan apabila mereka tidak makan. Jadi saya terus berlapar,” ujarnya lagi.
Apabila Vinod datang ke UAE pada tahun 2004, dia meneruskan untuk berpuasa pada bulan Ramadan.
“Saya mula bekerja dengan UAE Exchange di sini. Isteri saya juga menggalakkan saya untuk terus berpuasa,” ujarnya. – Agensi