PARIT BUNTAR – Dua kru nelayan warga Myanmar dan Indonesia telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan yang sah.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, semasa pihaknya melakukan rondaan rutin diperairan Kerian dan Larut Matang, pasukan peronda telah mengesan bot nelayan tempatan kelas A jenis pukat gompang pada kedudukan 4.5 batu nautika barat daya Kuala Gula.
“Hasil pemeriksaan menemukan dua orang kru nelayan termasuk tekong warga Myanmar dan Indonesia berusia antara 32 serta 37 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot tersebut.
“Pemeriksaan lanjut turut dijalankan mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya. Disamping itu, tiada dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bot bersama kru serta alat penangkapan ikan telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen dan Seksyen 8(b)Akta Perikanan 1985,” katanya. -KOSMO! ONLINE