PETALING JAYA – Peningkatan kes demam denggi secara mendadak ketika ini dipercayai berlaku akibat serangan nyamuk Aedes ke atas pengunjung bazar Ramadan.
Pakar kesihatan, Dr. Malar Santhi Santherasegapan berkata, ia kerana aktiviti rakyat Malaysia di waktu senja, ketika nyamuk Aedes keluar adalah lebih tinggi berbanding biasa.
“Kamu semua pergi bazar Ramadan, cari juadah berbuka, nyamuk Aedes pergi sana nak berbuka juga guna darah kamu. Di bulan Ramadan ni demam denggi naik, mendadak-dadak.
“Sebab nyamuk Aedes ni waktu dia keluar adalah lebih kurang pukul 6 hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam,” katanya menerusi video di media sosial miliknya, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau menyarankan dua strategi yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk mencegah jangkitan denggi.
“Yang pertama, jadilah manusia yang bertanggungjawab. Pembeli dan penjual di bazar Ramadan pastikan sampah diurus dengan baik.
“Jangan tinggal botol-botol di situ dan biarkan air bertakung kemudian jentik-jentik hidup jadi nyamuk Aedes.
“Strategi kedua, pakailah krim-krim yang boleh mencegah gigitan nyamuk. Kalau untuk budak-budak tolonglah pakai losen atau ‘mosquito repellent’ (ubat nyamuk),” ujarnya.
Jelas Dr. Malar, orang ramai dinasihatkan agar terus menjaga kesihatan pada bulan Ramadan jika tidak mahu menyambut raya di hospital.
“Kalau kamu semua serius nak balik kampung beraya tolonglah jaga kesihatan anda sebab doktor-doktor yang dah ambil cuti semua nak balik kampung.
“Mereka tak nak cuti mereka dibekukan sebab kes denggi naik mendadak-dadak,” katanya. – KOSMO! ONLINE