KUALA PILAH – Cubaan seorang lelaki untuk menanam pokok ganja membawa padah apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, di sini, hari ini.
Tertuduh, Rohaizat Abd Aziz, 58, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menanam dua batang pokok jenis Cannabis, dari mana Cannabis boleh diperolehi secara langsung.
Kesalahan itu dilakukan pada 3 April lalu, kira-kira pukul 1.30 tengah hari di Kampung Gemetir, Tanjong Ipoh.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada tawaran jaminan oleh pihak pendakwaan di mana pihak pendakwaan merujuk Seksyen 41B ADB 1952, kesalahan adalah kesalahan tidak boleh jamin (unbailable offence).
Mahkamah tidak benarkan jaminan dan menetapkan 9 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia. – KOSMO! ONLINE