fbpx

Bekalan sayur stabil, harga rendah menjelang perayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Rashid (kiri) ketika melihat hasil sayur bendi yang diusahakan Kamarudin (kanan) sempena Program Jelajah Semarak Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Kampung Relong hari ini. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

REMBAU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan buat masa ini bekalan sayur-sayuran di seluruh negara dalam keadaan stabil.

Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, harga yang ditawarkan juga jauh lebih rendah berbanding sebelumnya dengan mengambil contoh harga timun yang kini sekitar RM1.50 sekilogram berbanding sebelumnya dijual RM2.

“Usaha FAMA untuk tingkatkan bekalan dari outlet-outlet FAMA seperti pasar tani, agro bazar dan pusat-pusat operasi mendapati bekalan memang stabil. Harga pun agak rendah sikit berbanding sebelumnya.

“Malah, sejak tahun lalu juga, kita tidak lagi mendapat aduan berkenaan kekurangan bekalan kelapa semasa musim perayaan susulan kelapa tidak lagi dikenakan Permit Import (AP) atau kelulusan kuota import.

“Kebiasaannya bekalan musim perayaan akan meningkat dua kali ganda. Jadi, buat musim perayaan ini, sebanyak dua juta biji kelapa akan diimport dari Indonesia bagi memenuhi keperluan pengguna,” katanya kepada pemberita sempena Program Jelajah Semarak Ramadan Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Kampung Relong, di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (Forward Agreement) antara Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) dengan Peserta Ladang Kontrak melibatkan anggaran nilai belian sebanyak 6 MT dengan nilai RM21,000 telah dilaksanakan.

Selain itu, FAMA turut menyampaikan Mock Cheque kepada dua Usahawan FAMA Daerah Rembau iaitu Kamarudin Norzan dan Nurul Amirah Atiqqah Isnin bagi Projek Pembangunan FAMA Negeri Sembilan Tahun 2023 iaitu Projek Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Projek Pusat Pengumpulan Ladang (PPL) berjumlah RM 41,000.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, FAMA menyasarkan sebanyak 1,000 peserta akan menyertai Program Ladang Kontrak di seluruh negara tahun ini bagi meningkatkan lagi bekalan makanan buat negara.

Menurutnya, program ladang kontrak dilihat mampu mengurangkan tekanan bekalan makanan bagi hasil sayur-sayuran dan buah-buahan terutamanya pada musim perayaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI