fbpx

Bayi arwah Rubiah menangis lapar susu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Rubiah dimasukkan ke dalam kenderaan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi, Dungun semalam.

DUNGUN – Suasana pilu menyelubungi majlis pengebumian mangsa pembunuhan kejam, arwah Rubiah Sabtu selepas ba­yinya yang berusia tiga bulan menangis ketika jenazah disolatkan dipercayai kerana kelaparan.

Ini berikutan, Nur Kaira Damia yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sebelum ini menyusu badan ibunya.

Selepas kematian ibunya, Nur Kaira terpaksa menyesuaikan diri meminum susu formula.

Bekas ibu mentua mangsa, Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata, arwah Rubiah seolah-olah tahu dia akan ‘pergi’ apabila kerap berpesan kepadanya supaya menjaga enam anaknya ha­sil perkahwinan terdahulu jika dia sudah tiada.

Arwah membuat pesanan itu setiap kali mereka bertemu sejak beberapa bulan lalu.

Berita berkaitan: Wanita maut dipukul suami dengan tukul besi

“Arwah beritahu hanya saya dan suami (Aziz Mustapa) tempat dia bergantung untuk menjaga anak-anaknya jika dia me­ninggal dunia.

“Sekarang baru saya faham pesanan arwah. Saya dan suami sudah sepakat untuk menjaga enam anaknya,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi di sini semalam.

Jenazah Rubiah dikebumikan pukul 12 tengah hari semalam dan dihadiri 50 ahli keluarga dan sanak-saudara.

Bercerita lanjut, Wan Zaini memberitahu, walaupun arwah Rubiah sudah berpisah dengan anaknya lebih empat tahun lalu, namun dia sudah menganggap pengusaha kedai runcit itu se­perti anaknya sendiri.

Jelasnya, hubungan mereka masih baik walaupun arwah Rubiah sudah berkahwin lain de­ngan suspek kira-kira setahun lalu.

Wanita itu dan suaminya sepakat untuk membawa anak-anak arwah iaitu Nur Daniela Danissya, 11; Muhammad Adam Darwisy, 9; Muhammad Danial Naufal, 7 dan Muhammad Dani Lutfi, 5, untuk menetap bersama mereka di Tangga Batu, Melaka.

“Dua lagi anak arwah yang berusia 18 dan 15 tahun iaitu Muhammad Daniel dan Muhammad Danish Hakim pula kami serahkan kepada mereka sama ada mahu mengikut kami atau bapa mereka,” katanya.

Wan Zaini menambah, dia dan suaminya juga berhasrat mahu menjaga anak bongsu arwah hasil perkahwinan kedua sekiranya tiada ahli keluarga lain yang mahu menjaga bayi tersebut,” ­katanya.

Dalam pada itu, anak arwah, Mohamad Daniel memberitahu, dia tidak menyangka bapa tiri­nya tergamak membunuh ibunya kerana hubungan mereka dilihat amat baik.

“Sampai sekarang saya masih tertanya-tanya punca ayah (suspek) bertindak sekejam itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek seorang tukang rumah berusia 32 tahun direman tujuh hari bermula semalam. Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk bagi mengetahui motif kejadian.

Kosmo! semalam melaporkan seorang wanita ditemui mati de­ngan kesan kecederaan di muka di ruang tamu rumahnya di Kampung Besol, Bukit Besi dipercayai dibunuh suaminya.

Lelaki itu turut meracau mahu membunuh diri, namun berjaya ditenteramkan ahli keluarga sebelum serah diri di balai polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI