PETALING JAYA – Seorang wanita akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah taska yang didakwa mengabaikan anak perempuannya berusia satu tahun, awal tahun ini.
Menerusi perkongsian di Facebook El Ameerah, kejadian malang itu berlaku awal Januari lalu yang mana merupakan hari ketiga anak perempuannya berada di taska terbabit.
“Hari pertama, Maryam sangat gembira. Dia sangat teruja sampai lupa nak ucap selamat tinggal dekat ‘ummi’ dan ‘abah’. Tetapi bila abah ambil Maryam waktu petang, dia bagi tahu ummi yang Maryam menangis.
“Ummi mula rasa tak sedap hati tetapi masih cuba bersangka baik kerana taska baru ini besar dan fasilitinya lebih baik daripada taska sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, El Ameera berkata, keadaan Maryam menjadi semakin teruk selepas guru taska tersebut mengirimkan gambar tangan Maryam yang mempunyai kesan lebam termasuk beberapa luka.
“Kami terus bergegas ke taska dan lihat Maryam dalam keadaan lemah sangat. Bila tengok rupa-rupanya bukan tangan kiri sahaja lebam, bawah telinga, pipi, belakang tangan semua ada kesan gigitan.
“Rasa macam gelap sekejap dunia dan saya minta izin dekat guru untuk lihat tempat kejadian dan sangat terkejut dengan keadaan bilik itu.
“Bilik kecil kosong tidak ada apa apa, tidak ada alas lantai, mainan, buku atau hiasan dinding termasuk cot (katil) sedangkan saya dah beri ‘blanket’ (selimut),” ujarnya.
Lebih mengejutkan El Ameera diberitahu, bilik berkenaan merupakan bilik isolasi bagi kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun yang diletakkan sementara supaya tidak mengganggu bayi.
“Bila lihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), rupa-rupanya empat budak-budak termasuk Maryam diletakkan dalam bilik itu sejak dari pagi.
“Saya tengok budak-budak itu dibiar menyusu atas lantai tanpa pengawasan. Habis Maryam kena gigit dan cubit sebanyak enam kali sehingga terbaring lemah,” jelasnya.
Dalam pada itu, El Ameera berkata, dia dan suami telah membawa Maryam ke hospital dan juga pakar psikiatri kanak-kanak untuk rawatan lanjut dan akan mengambil tindakan undang-undang.
“Malam itu kami sudah buat laporan di balai polis dan Maryam perlu dirujuk kepada pakar perubatan sehingga Mei kerana dia susah nak tidur dan sering menangis.
“Taska yang kononnya gah, menang anugerah sampai daftar kena bayar RM1,000, tapi anak duduk bilik kosong. Buat masa ini saya dinasihat untuk tidak dedah nama dan lokasi taska.
“Namun, bila dah bawa ke mahkamah nanti, tiada apa lagi boleh disorok daripada pengetahuan kami. Perjuangan ini baru sahaja bermula,” katanya. – KOSMO! ONLINE