fbpx

Aidilfitri: Hanya 10 peratus pegawai, anggota polis Selangor dibenar cuti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussein (tengah) dan pegawai polis pada program itu di Surau Khalid Al-Walid IPK Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Hanya 10 peratus pegawai dan anggota polis di Selangor dibenarkan untuk bercuti sempena sambutan Aidilfitri kali ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 90 peratus daripada lebih 14,000 warga akan bertugas ketika musim perayaan itu.

Jelas beliau, penugasan anggota antaranya akan melibatkan rondaan, kawalan lalu lintas dan siasatan kes jenayah.

“Kita hanya memberi cuti minimum kepada 10 peratus pegawai dan anggota manakala selebihnya akan berada di lapangan sepanjang musim perayaan ini.

“Selain itu, rondaan akan digandakan bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya ketika ditemui selepas program Rakaman Rakbir dan Ucapan Aidilfitri di Surau Khalid Al-Walid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Menurut Hussein, orang ramai dinasihatkan segera mengisi borang balik kampung sebelum meninggalkan kediaman untuk pulang bercuti.

“Langkah itu perlu bagi memudahkan polis menggerakkan rondaan dan kawalan secara lebih sistematik terutama di kawasan perumahan.

“Selain mendapatkan borang di balai polis, ia boleh diisi menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.

Tambah beliau, pihaknya turut akan memfokuskan isu keselamatan rumah penduduk selaras pelaksanaan Ops Selamat yang bakal dilancarkan kelak.

“Orang ramai diminta memastikan kediaman mereka berkunci sepenuhnya sebelum pulang ke kampung masing-masing.

“Mereka juga dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika memandu di jalan raya bagi mengelak berlaku kemalangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI