KUALA TERENGGANU – Sebanyak 182 kompaun berjumlah keseluruhan RM19,450 telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan hasil operasi sejak awal Ramadan.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, notis kesalahan itu dikeluarkan selepas peniaga dikesan gagal mematuhi Akta Makanan 1983.
Menurutnya, antara kesalahan tersebut adalah tidak mengambil suntikan anti tifoid, tiada sijil latihan pengendali makanan, tidak memakai apron, tidak mengamalkan kebersihan dan menggaji pengendali tiada latihan dan suntikan anti tifoid.
“Kemaman merekodkan kompaun tertinggi iaitu 64 notis kesalahan diikuti Kuala Terengganu (39), Dungun (38), Besut (13), Hulu Terengganu (sembilan), Setiu dan Marang masing-masing tujuh notis manakala lima notis lagi di Kuala Nerus,” katanya di sini hari ini.
Kasemani memberitahu seramai 366 anggota penguat kuasa JKNT terlibat memantau dan menguat kuasa peraturan di semua bazar Ramadan seluruh negeri ini.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai membuat aduan terus kepada JKNT sekiranya terbeli makanan basi, tidak dimasak sempurna atau berbau busuk agar tindakan lanjut dapat diambil segera.
“Setakat ini, lima aduan yang diterima melalui kod respon pantas (QR) yang disediakan di setiap laluan masuk semua bazar Ramadan di negeri ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE