PUTRAJAYA – Kesegaran pelbagai jenis buah-buahan yang dijadikan jus sebagai pembuka selera di bulan Ramadan menjadikan gerai Jai Station yang terletak di Bazar Putrajaya, Presint 3 di sini, sebagai premis wajib singgah bagi pengunjung.
Pemilik gerai, Muhd. Hafizan Abdullah berkata, jus avocado yang dihasilkannya merupakan antara menu paling laris dan menjadi pilihan pelanggan sehingga satu tan buah itu habis dijual hanya dalam tempoh lima hari.
Katanya, selain avocado, dia turut menjual pelbagai jenis jus semula jadi daripada buah-buahan seperti markisa dan jambu batu dengan harga antara RM8 hingga RM15 bergantung kepada saiz.
“Tiada resepi khas dalam membuat jus, tetapi apa yang penting buah yang digunakan itu perlukan segar dan elak daripada mencampur sebarang bentuk pengawet dalam air.
“Disebabkan permintaan tinggi, saya terpaksa pulang ke Batu Pahat setiap tiga hari bagi mendapatkan bekalan buah terutamanya avocado,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Muhd. Hafizan berkata, bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barang, dia masih mengekalkan harga lama dan mengurangkan jumlah pekerja bagi menjimatkan kos.