SUDAH menjadi keutamaan bagi setiap Muslim ketika Ramadan untuk mengejar fadilat bulan seribu rahmat tersebut biarpun di mana sahaja mereka berada.
Justeru, pilihan paling tepat sekiranya bercuti pada bulan suci ini adalah hotel yang menyediakan pakej lengkap meliputi keperluan ibadah seperti sahur, iftar sehingga tarawih.
Semua kelengkapan tersebut boleh didapati di Movenpick Hotel & Convention Center (MHCC) yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor menerusi pakej Teraweehcation.
Pengurus Besar MHCC, Rudi Fajar Putra berkata, Teraweehcation merupakan satu ‘trademark’ untuk hotel tersebut.
“Ini merupakan tahun ketiga kami menawarkan pakej Teraweehcation dan sambutannya saban tahun sangat menggalakkan.
“Kami mahu menjadikan pakej ini sebagai satu ‘trademark’ untuk MHCC supaya setiap kali Ramadan, orang ramai akan memilih kami sebagai lokasi percutian mereka,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.
Sebaik melangkah masuk ke ruang lobi, pengunjung akan disambut dengan dekorasi dan susun atur perabot persis di negara Asia Barat.
Direka bentuk dengan seni bina Islam moden yang tersendiri, hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH) itu digelar sebagai mercu tanda hijau bak oasis di tengah-tengah landskap nyaman.
Pilihan bilik untuk pakej itu adalah jenis superior room yang berpendingin hawa dan dilengkapi televisyen satelit skrin rata.
Sebagai hotel patuh syariah, terdapat kemudahan riadah berasingan yang ditawarkan untuk tetamu lelaki dan wanita termasuk kolam renang, gimnasium serta spa.
Hotel tersebut juga menyediakan kemudahan bilik mesyuarat, kolam kanak-kanak, taman permainan dan gelanggang tenis.
Kesemua fasiliti tersebut beroperasi seperti biasa sepanjang Ramadan.
Tambah Rudi lagi, kelebihan pakej Teraweehcation pada kali ini adalah pada pilihan menu iftar yang memiliki lebih kepelbagaian berbanding tahun lalu.
Selain itu, penginap boleh menunaikan tarawih bersama jemaah Masjid Sultan Abdul Samad yang terletak berhampiran hotel.
“Iftar tahun ini, kami menyediakan bufet berkonsepkan bazar Ramadan dengan pilihan sebanyak 17 gerai.
“Pada Sabtu dan Ahad, kami menyediakan menu durian buat para tetamu.
“Kami juga menyediakan ‘wake up call’ dan bufet untuk bersahur.
“Untuk ibadah tarawih pula, semuanya akan diuruskan oleh ahli kariah Masjid Sultan Abdul Samad yang memiliki pengalaman dalam mengendalikan ibadah berjemaah,” jelasnya lagi.
Pakej Teraweehcation ditawar sehingga 20 April, bermula dengan harga RM248 semalam.
Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web rasmi MHCC, www.movenpick.com.