PETALING JAYA – Tidak sampai 24 jam berkhidmat, penyanyi Sharifah Zarina memaklumkan bahawa pembantu rumahnya yang baharu melarikan diri dari kediamannya awal pagi tadi.
Penyanyi yang popular dengan lagu Langit Ketujuh itu bernasib baik apabila dia tidak sempat membuat pembayaran kepada agensi di mana dia mengambil pembantu rumah itu.
“Saya ambil dia pukul 10 malam tadi tetapi pukul empat pagi dia sudah melarikan diri.
“Mahu ke mana awak? Sudah ada yang menunggu ya. Tidak mengapalah bukan rezeki saya. Harap-harap tiada apa-apa barang yang dicuri.
“Mahu pindahkan wang kepada pihak agensi pun tidak sempat lagi dia dah bye-bye (meninggalkan rumah). Nasib baik juga kalau tidak (melayang duit),” kongsinya dalam hantaran Instagram.
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Sharifah Zarina Wan Hassan itu hairan dengan tindakan pembantu rumahnya kerana dia tidak memberikan tugasan berat untuk dikerjakan di rumahnya.
“Sudahlah saya ini bukannya ada anak kecil pun. Semua sudah besar dan buat hal masing-masing.
“Saya cakap dekat dia untuk sapu rumah seminggu sekali sahaja. Cuci tandas pula dua kali satu minggu sudah cukup. Jangan fikir sangat buat kerja rumah.
“Padahal saya sudah cakap kalau tidak serasi boleh cakap supaya saya boleh hantar kepada pihak agensi tetapi dia tetap mahu melarikan diri pada subuh hari,” jelasnya.
Enggan orang lain terlibat dalam insiden yang sama dengannya, Zarina membuat keputusan memuat naik hantaran tersebut sebagai tanda peringatan.
“Saya memuat naik perkara ini untuk memberi peringatan dekat semua. Mana tahu dia muncul mahu jadi pembantu rumah kalian.
“Jadi berhati-hatilah. Susah sungguh mahu ambil pembantu rumah sekarang ini,” ujar ibu kepada tiga orang anak itu.
Dalam hantaran yang sama, Zarina memuat naik gambar pembantu rumahnya berserta passport supaya orang ramai lebih peka agar tidak menjadi mangsa. – KOSMO! ONLINE