CYBERJAYA- Kerajaan bakal membentangkan rang undang-undang (RUU) mengenai pelaksanaan cukai minimum sejagat (GMT) sebelum diperkenalkan tahun depan.
Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, cukai global tersebut akan dilakukan secara berperingkat dalam dua fasa ke atas semua syarikat multinasional (MNC).
“Insya-Allah kerajaan jangka ini jadi sumber baharu pendapatan negara, malah kita sasar buat permulaan kutipan RM1 bilion sepanjang tahun depan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis iftar dan menyerahkan sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada 10 penerima dalam kalangan asnaf terpilih, di sini malam ini.
GMT pernah disebut Menteri Kewangan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Parlimen pada 7 Oktober 2022.
Cukai itu dilaksanakan Kesatuan Eropah dan negara-negara lain termasuk Jepun, Qatar, Indonesia dan Britain terhadap MNC asing yang melabur di negara mereka. -KOSMO! ONLINE.