PETALING JAYA – Seperti dijangka, dua kemenangan di pentas antarabangsa pada bulan lalu telah berjaya melonjakkan ranking Harimau Malaya daripada kedudukan ke-145 hingga berada di tempat ke-138 dunia.
Menerusi kemaskini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sebentar tadi, skuad kendalian Kim Pan-gon telah naik tujuh anak tangga sekali gus berada di landasan yang tepat sebelum mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 nanti.
Penambahan mata ranking itu berdasarkan perkiraan semasa termasuk dua kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong yang berjaya dicatat pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri bulan lalu.
Berdasarkan ranking Asia Tenggara, Vietnam berada di kedudukan 95 dunia (1229.69 mata), Thailand berada di posisi ke-114 dunia (1171.88 mata) manakala Filipina berada di tempat ke-136 dunia (1097.67mata).
Skuad kebangsaan pula mengumpul 1082.13 mata dan lebih tinggi berbanding negara jiran, Indonesia di kedudukan ke-149 (1046.14 mata) dan Singapura di tempat 158 dunia (1014.04 mata).
Pan-gon kini sedang merangka persiapan terbaik sebelum mengharungi Piala Asia 2023 di Qatar nanti dengan skuad kebangsaan difahamkan bakal mengatur dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jun depan. – KOSMO! ONLINE