fbpx

Prosiding tuntutan fasakh Pachara terhadap Afiq Muiz ditangguh 15 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ALASAN hanya mengetahui prosiding tuntutan cerai secara fasakh daripada pihak media tanpa menerima sebarang notis awal menjadi punca kes membabitkan Afiq dan isterinya, Pachara ditangguh ke 15 Jun depan. Foto - AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini menetapkan 15 Jun depan bagi sebutan semula kes tuntutan permohonan cerai secara fasakh Pachara Apin ke atas suaminya yang juga pelakon, Afiq Muiz.

Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie Yazid Saat yang mewakili defendan (Afiq) memaklumkan anak guamnya hanya mengetahui prosiding tersebut daripada pihak media tanpa menerima sebarang notis awal.

Katanya, anak guamnya juga tidak memaklumkan sama ada menerima sebarang panggilan atau WhatsApp berhubung prosiding tersebut.

“Hari ini kami baru tahu sebab itu hadir dan pihak mahkamah benarkan kami masukkan satu pembelaan.

“Ini bermakna, kes akan bermula semula dan pihak kami perlu menghantar pembelaan bertulis di mahkamah.

“Plaintif akan beri keterangan pada 15 Jun nanti dan akan disoal balas oleh pihak kami,” katanya kepada Kosmo! Online di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, hari ini.

Sementara itu, Afiq atau nama penuhnya Muhammad Afiq Muiz Azman Shah, 31, masih kekal dengan pendirian mengunci mulut daripada memberikan sebarang respons berhubung prosiding dan kemelut rumah tangganya dengan Pachara.

“Saya tak boleh komen apa-apa, semuanya saya serahkan kepada mahkamah yang tentukan,” jelasnya.

Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.

Antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.

Terdahulu, pada 29 Mac lalu, Pachara memberitahu suaminya langsung tidak memberi kerjasama untuk tuntutan perceraian tersebut selain tidak hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.

Sebelum ini, Pachara dalam satu pendedahannya memberitahu Afiq pernah mengasarinya sehingga menyebabkan kaki serta jarinya patah.

Kenyataan tersebut kemudiannya meraih komen balas adik Afiq iaitu pelakon, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.

Tidak menunggu lama, Afiq kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dengkil pada 30 November tahun lalu bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah.

Terdahulu, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI