PETALING JAYA – Pecca Group Berhad (Pecca) menjadi syarikat Malaysia pertama dan satu-satunya yang diperakui oleh Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA).
Anak syarikat milik penuh Pecca, Pecca Aviation Services Sdn Bhd (PASSB) telah menerima sijil Kelulusan Organisasi Pengeluaran (POA) daripada EASA.
Skop kerja yang diluluskan di bawah POA adalah membalut, memotong dan menjahit kulit atau fabrik untuk sarung penutup tempat duduk pesawat, sarung tempat sandar kepala dan sarung tempat letak tangan.
Pencapaian utama ini telah membuka aliran hasil baharu kepada Kumpulan kerana ia kini diberi hak untuk menyediakan perkhidmatan upholsteri dan baik pulih untuk semua pesawat berdaftar EASA.
Ketua Pegawai Eksekutif Peca, Foo Ken Nee berkata, sijil tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Pecca yang seterusnya.
“Segmen penerbangan adalah salah satu enjin pertumbuhan utama kami dan pensijilan EASA pastinya akan mempercepatkan pertumbuhan hasil segmen itu dalam bergerak ke hadapan.
“Sijil POA akan menyediakan kami platform untuk menyambung dan berkhidmat dengan semua jenis pesawat yang didaftarkan secara global, di bawah prinsip dan garis panduan EASA.
“Pensijilan itu akan membolehkan PASSB mempunyai kelebihan daya saing dalam kalangan pemain industri POA di Malaysia, ASEAN dan global.
“Ini akan menyediakan peluang perniagaan selanjutnya untuk mengembangkan portfolio pelanggan PASSB secara global, sebagai tambahan kepada pangkalan pelanggan sedia ada yang hanya meliputi pesawat berdaftar Malaysia termasuk jet peribadi dan helikopter, di bawah penilaian CAAM Bahagian 145 AMO C6 (Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Ken Nee menjelaskan, Kumpulan kini bersedia untuk mendapat harga dan margin yang lebih baik untuk tawaran upholsteri pesawatnya berbanding tempat duduk kereta biasa yang dikeluarkannya pada masa ini.
Di samping itu, memandangkan fakta bahawa tidak ramai peserta dalam landskap pembuatan upholsteri pesawat, ini akan meletakkan Pecca dengan lebih baik dalam meraih peluang masa depan dalam pasaran.
Selain itu, pasukan penerbangan Pecca kini bersiap sedia untuk mempromosikan jenama dan perkhidmatan PASSB dengan menghadiri pameran di seluruh rantau dan secara global seperti menghadiri pameran penerbangan di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi LIMA 2023 (Mei, 2023) dan di Ekspo Dalaman Kapal Terbang di Hamburg, Jerman (Jun, 2023). -KOSMO!ONLINE