GUA MUSANG – Seorang lelaki Orang Asli di Kampung Ipes, Pos Balar di sini yang terlibat kemalangan diterbangkan menggunakan helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang semalam.
Mangsa, Amin Zamri, 21, cedera pada bahagian bahu dan kaki selepas terbabas sendirian ketika menunggang motosikal semasa pulang dari tempat kerja di kawasan perkampungan tersebut.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, mangsa dibawa keluar dari Pos Balar menggunakan pesawat Agusta Westland 189 (AW189).
Katanya, pihaknya menerima arahan penugasan membawa seorang lelaki Orang Asli dari Pos Balar ke Hospital Gua Musang dan pesakit tidak boleh bergerak selain memerlukan pengusung.
“Pesawat berlepas dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah Subang, Selangor pada pukul 10.40 pagi dan tiba di Pos Balar sejam kemudian untuk mengambil pesakit yang tidak boleh berjalan.
“Pesawat berlepas dari Pos Balar pada pukul 11.50 pagi dan sampai di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang kira-kira 10 minit kemudian. Pesakit bersama pengiring kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang dengan menggunakan ambulans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE