fbpx

Mahkamah: Jason Lo kekal lepas, bebas pertuduhan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jason Lo ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini selepas kekal lepas dan bebas pertuduhan dadah. Foto oleh Faiz Alif/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Penyanyi Jason Lo kekal lepas dan bebas atas pertuduhan memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine dalam badannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan Jason Lo daripada pertuduhan itu selain mengetepikan rayuan pihak pendakwaan.

“Rayuan pihak pendakwaan diketepikan dan keputusan Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan responden (Jason Lo) dikekalkan,” kata Noorin.

Prosiding hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nik Mohd Fadli Nik Azlan manakala Jason Lo diwakili peguam Datuk Hariharan Tara Singh.

Terdahulu pada 24 Jun tahun lalu, Majistret Mohamad Fared Abdul Latif membebaskan Jason Lo atau nama sebenarnya Jason Jonathan Lo selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Sementara itu Jason Lo ketika ditemui selepas prosiding berkata beliau bersyukur dengan keputusan hari ini dan berterima kasih kepada peguam yang mewakilinya dalam kes itu.

“Saya percaya dengan sistem kehakiman di negara ini dan saya hargai jasa peguam yang telah bekerja keras dalam membantu saya dalam kes ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Jason Lo, 48, didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badannya tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang, di tandas pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di Jalan Travers , Brickfields pukul 5.15 petang pada 15 November 2019.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan diwajibkan pengawasan di bawah seliaan pegawai pemulihan sehingga tiga tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI