KUALA Lumpur City memperoleh kemenangan sulung di Liga Super musim ini apabila menewaskan Sabah 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Walaupun The Rhinos berjaya menyerlahkan kualiti tersendiri, anak buah Datuk Ong Kim Swee seakan hilang idea untuk melakukan sentuhan penyudah lebih baik.
Terdahulu, Sabah memulakan perlawanan dengan aksi agresif namun situasi itu seakan tidak bertahan lama apabila KL City mula menemui rentak untuk cuba memberikan saingan.
Minit ke-15, kesilapan komunikasi antara penjaga gol, Damien Lim dan barisan pertahanannya mengundang padah hingga membuka peluang buat T. Saravanan meledak gol pembukaan.
Selang lapan minit selepas itu, Tchetche Kipre berjaya menggegar gawang pelawat buat kali kedua sebaliknya jaringan itu dibatalkan selepas terlebih dulu dikesan berada di kedudukan offside.
Aksi rancak berterusan di babak kedua dengan menyaksikan kedua-dua pasukan makin agresif mengatur serangan sebaliknya beberapa peluang terbaik yang dicipta gagal diterjemahkan dengan jaringan.
Ketika Sabah makin galak memburu gol penyamaan, pemain gantian KL City, Sean Gianelli segera menamatkan sisa perjuangan pelawat apabila meledak gol kedua pada masa kecederaan.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sri Pahang terus kebal untuk mempertahankan rekod tanpa kalah apabila menundukkan PDRM FC 2-1.
Dua gol Tok Gajah dihasilkan oleh Baqiuddin Shamsudin pada minit ke-17 dan Kpah Sherman (m-22) manakala jaringan saguhati tuan rumah dijaringkan James Okwuosa pada minit ke-77.
Sementara itu, di Stadium Negeri, jaringan minit akhir Ashraff Alifuddin menyelamatkan Kelantan United untuk mengikat Kuching City 1-1.
Sebelum itu, tuan rumah memperoleh gol pembukaan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Sirojiddin Kuziev pada minit ke-51. – KOSMO! ONLINE