PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 bagi membina Sekolah Agama Rakyat Darul Maarif di Kampung Mesilau, Kota Kinabalu, Sabah.
Sumbangan itu dilakukan melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) HASiL Kasih Prihatin yang diadakan dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam Kota Kinabalu (BAKTI)
LHDN dalam satu kenyataan berkata, program CSR HASiL Kasih Prihatin tersebut merupakan kesinambungan program CSR yang dijalankan pada 4 Februari lalu.
“LHDN turut menyantuni anak-anak yatim, fakir dan miskin dari kampung-kampung sekitar Kota Kinabalu, Sabah menyampaikan sumbangan tunai RM200 seorang bagi meringankan beban sempena menyambut Aidilfitri.
“Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Mohd Nizom Sairi,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut LHDN, Mohd. Nizom dalam ucapan beliau sempena program tersebut berkata, LHDN amat komited meneruskan usaha menyantuni rakyat Malaysia dari segenap lapisan.
“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini bertujuan meringankan beban terutama golongan asnaf dan masyarakat luar bandar yang memerlukan.
“Penganjuran berterusan program seperti ini tanda sokongan padu HASiL kepada pembangunan modal insan termasuk kepada masyarakat luar bandar.
“Sekali gus menerapkan pendekatan strategik HASiL dalam mendekatkan diri kepada masyarakat sesuai tema ‘Leading Change, Driving Excellence’,” kata Mohd. Nizom.
Tambah LHDN, program itu walaupun kecil diharap dapat memberi impak yang besar dalam menggambarkan keprihatinan LHDN kepada masyarakat setempat. – KOSMO! ONLINE