fbpx

KPDN seru lebih ramai pengusaha hotel laksana inisiatif Payung Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuuddin ketika berucap di Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Bersama Tamu Hotel & Suites di sini hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru agar lebih ramai pengusaha hotel di Malaysia menyahut seruan kerajaan dalam melaksanakan inisiatif Payung Rahmah dengan menawarkan harga mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.

Menterinya, Datuk Seri Salahuuddin Ayub, berkata, setakat hari ini terdapat dua hotel yang menawarkan pakej penginapan dengan harga Rahmah iaitu masing-masing di Sandakan, Sabah dan Kampung Baru, di sini.

“Bulan lalu, sebuah hotel di Sandakan menjadi hotel pertama di negara ini menawarkan pakej penginapan dengan harga Rahmah sepanjang Ramadan dan hari ini kita terima satu lagi penglibatan oleh sebuah hotel di Semenanjung yang turut melaksanakan inisiatif Payung Rahmah.

“Kalau ada empat atau lima lagi hotel lagi yang boleh menawarkan pakej Rahmah ini di sekitar Kuala Lumpur terutamanya bagi sepanjang Ramadan ini akan jadi berita gembira untuk kita.

“Sebab ramai yang datang ke Kuala Lumpur untuk beli belah ketika ini sebagai persiapan sambut Aidilfitri, jadi apabila banyak hotel yang tawar harga Rahmah, dapat bantu rakyat menginap disamping menikmati keindahan dan suasana Ramadan di Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Bersama Tamu Hotel & Suites di sini hari ini.

Dalam pada itu, Salahuuddin berkata, Tamu Hotel & Suites merupakan hotel pertama di Malaysia yang melancarkan Pakej Rahmah di bawah gabungan pakej perkhidmatan dan iftar.

“KPDN melihat inisiatif ini sebagai salah satu tawaran yang sangat berbaloi intuk dinikmati oleh setiap lapisan golongan masyarakat bukan sahaja tertumpu golongan B40 semata-mata.

“KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI