SELALUNYA, setiap kali menjelang bulan puasa, bukan mahu mendabik dada, namun wartawan meja hiburan menjadi golongan media paling sibuk. Mahunya tidak, ketika inilah ramai karyawan seni mencari orang meja hiburan untuk promosi apa sahaja karya mahupun program bertemakan Ramadan-Syawal. Itu biasa.
Tidak seperti tahun ini, awal Ramadan dunia hiburan bergema dengan banyak suara mahkamah, repot polis, fail cerai dan macam-macam keladak yang timbul.
Sehinggakan timbul rungutan rakan-rakan pengurus perhubungan awam bahawa mereka sedang berjuang untuk merebut ruang liputan, maklumkan wartawan hiburan hampir tak menang tangan kejar artis di mahkamah.
Jika dibandingkan dengan Ramadan lalu, paling ‘havoc’ pun, kita mungkin mual dengan video muzik usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri.
Tahun ini, Aliff masih cuba mengulang sejarah tapi kesannya kurang menjadi, khalayak barangkali sudah banyak belajar dari tahun sudah, lagi dilayan lagi dibenci lagi menjadi-jadi perangainya.
Atau mungkin, banyak lagi isu lain yang menggelupur minta perhatian.
Senyap seketika kes tuntutan perceraian Syamsul Yusof dan Puteri Sarah, semalam berlangsung pula sebutan kes tuntutan hadanah atau penjagaan anak-anak oleh pelakon popular Diana Danielle yang kini sedang dalam proses perceraian dengan suaminya Farid Kamil seperti yang dituntut pada 19 Mac, beberapa hari sebelum Ramadan.
Selain kes Farid-Diana yang dipanaskan pula dengan insiden cili dan anak trauma, keladak cerai-berai selebriti diwarnakan dengan kisah keberantakan perkahwinan selebriti veteran Datuk ND Lala apabila isterinya, Datin Fauziah Sarman membuat pendedahan identiti ‘si penyondol’ rumah tangga mereka bernama Siti Munirah iaitu rakan sekolah Shila Amzah.
Bayangkan usia 34 tahun perkahwinan pun tidak boleh bertahan, inikan pula yang baru 11 tahun seperti Farid-Diana dan Syamsul-Puteri Sarah (9 tahun).
Kalendar cerai Ramadan 2023 juga terisi dengan pengesahan pelawak yang bertahun-tahun mengheret isu kecurangan, siapa lagi kalau bukan Shuk Sahar.
Dua tahun berperang, panas, dingin, kembali berbaik bergaduh semula, kadang-kadang berteriak dalam laman sosial menceritakan segala onar, akhirnya pasangan yang bernikah pada 2015 itu bercerai sehari sebelum Ramadan iaitu pada 22 Mac dengan talak satu.
Menambahkan siri drama mahkamah dunia artis Ramadan, vokalis Bunkface, Sam yang telah bercerai pada 2019 juga kembali ke mahkamah dua hari lalu dengan kes pindaan nafkah anaknya, Maleeq bersama bekas isteri, Aida Azira Hussin.
Pada hari yang sama sebenarnya, ibu penyanyi Shila Amzah, Fauziah juga didakwa berkunjung ke mahkamah syariah di Bangi bagi memfailkan perceraian mereka pula.
Sana cerai sini cerai sana bergaduh sini berantakan, tolonglah wahai artis, simpan sikit kes sensasi kalian untuk bekal konten panas Syawal pula. Selamat berpuasa.