ALOR SETAR – Seorang wanita berdepan dengan ujian berganda apabila bukan sahaja menjadi tulang belakang keluarga, malah perlu pula menguruskan suaminya yang diserang strok sejak tiga tahun lalu.
Zaidawati Zainol, 49, berkata, dia reda dengan ujian yang berat itu dan perlu kuat untuk terus bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang demi sesuap nasi.
Katanya, selain suami, Azlan Ismail, 53, dia perlu menyara dua anaknya di universiti dan ibu bapa yang turut mempunyai masalah kesihatan.
“Sebelum ini suami menjual makanan sejuk beku di pasar pagi dan masjid-masjid. Walaupun pendapatan tak seberapa, ia cukup untuk kami sekeluarga.
“Namun, selepas diserang angin ahmar akibat darah tinggi, segala tanggungjawab mencari rezeki kini dipikul di bahu saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Selarong Panjang Kangkung dekat sini baru-baru ini.
Menurut Zaidawati, ibunya mempunyai masalah jantung, manakala bapanya ada sakit gout kronik hingga tak boleh bangun atau berjalan sendiri.
Tambahnya, walaupun telah bekerja di kilang itu sejak 23 tahun lalu, namun dia berharap agar anaknya, Anuar, 25, yang baru sahaja menamatkan pengajian di universiti mendapat pekerjaan.
“Kalau dia dapat kerja, ringanlah sikit beban saya. Sekarang cuma tinggal Azamuddin, 23, sahaja yang belajar di Universiti Utara Malaysia,” jelasnya.
Ujar Zaidawati, apa yang membuatkan dia resah ialah mengenai nasib keluarganya apabila dia bersara selepas umurnya mencecah 50 tahun.
“Pening juga fikir sebab Januari tahun depan umur saya sudah 50 tahun. Kalau sudah tak ada kerja siapa lagi nak menyara keluarga kami,” katanya.
Dalam pada itu, menurut ibunya, Halimah Hussein, 68, dia dan suami, Zainol Man, 76, bersimpati dengan nasib yang menimpa anak sulungnya itu.
“Rutin dia sebelum masuk kerja dia akan siapkan suaminya dulu, mandikan dan sediakan makan. Kalau kerja shif siang, pukul 4 pagi sudah bangun sediakan semua sebelum van kilang datang dua jam kemudian.
“Saya juga risau tentang kesihatannya yang ada darah tinggi. Saya cuma boleh tolong masak saja dan uruskan suami,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan bantuan ke ke akaun Maybank Zaidawati di 102027687503.