Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan inflasi Februari 2023 kekal pada kadar 3.7 peratus iaitu mereda dari 4.7 peratus pada Ogos 2022.
Menteri Ekonomi mengunjurkan inflasi 2023 berkemungkinan menurun kepada 3.1 peratus tahun ini. Bagi sebuah negara, keredaan tekanan dan kestabilan inflasi adalah sesuatu yang penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Namun, kita harus berhati-hati dalam mentakrifkan penurunan kadar inflasi kerana ia tidak menyebabkan harga barang menurun.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, dari 552 harga yang dipantau DOSM, hanya 66 harga yang mencatat penurunan harga.
Ujarnya, sebahagian besar, 452 item atau barangan yang diniagakan meningkat harganya.
“Daripada 12 komposisi harga Indeks Harga Pengguna (IHP) semua mencatat peningkatan, kecuali telekomunikasi. Terima hakikat, umumnya harga sentiasa meningkat.
“Apa implikasi ke atas kos sara hidup rakyat? Pemberat paling utama dalam IHP ialah makanan (29.7 peratus). Dalam bulan Februari, kadar kenaikan harga makanan dan minuman bukan beralkohol meningkat lebih tinggi dari bulan sebelumnya iaitu 7 peratus.
“Komponen restoran dan hotel meningkat dengan ketara kepada 7.4 peratus. Lebih khusus kadar kenaikan harga makan di luar kekal tinggi, 8.9 peratus,” katanya.
Tambah Noor Azlan, menangani kos sara hidup memerlukan tindakan yang lebih berkesan. Sebaiknya harga mestilah adil kepada penjual dan pembeli.
Katanya, tindakan menurunkan harga mesti disandarkan kepada inisiatif dititik awal rantaian bekalan bukan titik akhir rantaian, jualan kepada pengguna.
“Malaysia mesti bersedia. ‘Murah’ bukan ciri sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi. Gaya dan budaya hidup mesti berubah sekiranya status negara maju dan berpendapatan tinggi yang kita sasarkan. Kita sanggup? Bersedia?” soalnya.
Beliau berkata, kuasa beli yang tinggi mesti menjadi sasaran utama kerana harga umumnya akan sentiasa meningkat.
Tegasnya, tindakan yang lebih penting, lebih berkesan dan mampan ialah meningkatkan tahap pendapatan bukan menjadikan harga barangan dan perkhidmatan murah.
“Adakah rakyat Malaysia berupaya mencapai pendapatan yang membolehkan mereka mencapai tahap hidup yang selesa bersesuaian dengan lokasi dan tanggungan mereka?
Anda tahu tahap pendapatan selesa yang anda perlu capai? Berapa peratuskah rakyat Malaysia yang berada di bawah pendapatan selesa?” katanya.
B40, M40, dan T20 adalah ukuran pendapatan secara relatif, akan ada sampai bila-bila, di semua negara, kaya atau miskin.
Tidak seharusnya menjadi indikator sasaran. Sasaran mesti betul. Berubah kepada mensasarkan pendapatan selesa.