NAMPAK bahagia, namun personaliti televisyen, Ham So-won akhirnya membuat keputusan untuk bercerai dengan suaminya, Jin Hua.
Bukan tiada rasa cinta atau diduga kehadiran orang ketiga, perceraian So-won dan Jin Hua sebenarnya lebih ke arah menyelamatkan keadaan.
Dalam sebuah video YouTube, So-won memberitahu suami dan keluarga mentuanya tertekan akibat diserang komen jahat netizen berpunca daripada perlakuannya menerusi program Taste Of Wife.
“Saya fikir semuanya akan baik-baik sahaja selepas meninggalkan rancangan Taste Of Wife tetapi realitinya menjadi bertambah buruk.
“Pembenci mula menghantar mesej pelik kepada saya dan keluarga mertua.
“Mereka sangat tertekan kerana merasakan penghormatan anak mereka dirosakkan begitu sahaja,” kata selebriti berusia 46 tahun itu.
Tidak tahan dengan semua tekanan yang terpaksa ditanggung keluarga mentuanya, So-won membuat keputusan bercerai dengan suami.
Dia enggan lagi menyakiti hati keluarga mertua yang tidak bersalah dan berharap Jin Hua berjumpa dengan pasangan lebih baik.
“Saya harap selepas bercerai, suami saya dapat berjumpa dengan orang yang lebih baik. Saya mahu bercerai dan berputus asa menjadi seorang selebriti. Saya rela menjadi orang biasa,” jelasnya.
Pelakon itu turut memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang kepada penyebar maklumat palsu mengenai suami dan mentuanya.