fbpx

Belum mati, pembunuhan You berterusan ke London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KALI ini Joe Goldberg membawa diri ke London dan menukar identiti demi kelangsungan hidup.

SELEPAS kejayaan tiga musim terdahulu, siri thriller psikologi kegemaran ramai berjudul You kembali dengan musim terbaharu.

Sebagai pengikut tegar siri You, rasanya sudah mati kutu bagaimana untuk mengembangkan jalan cerita mengisahkan seorang lelaki yang ‘bebas’ membunuh sana sini bernama Joe Goldberg.

Bagaimanapun, produksi terlibat memastikan kesinambungan kisah yang diangkat novel tersebut terus menghipnosis audiens dengan perkembangan jalan cerita dan karakter dalam musim terbaharu kali ini.

Joe Goldberg kali ini dikenali sebagai Jonathan Moore dan cuba memulakan kehidupan baharu di London.

Disangka panas sampai ke petang, rupanya hujan tengah hari. Usaha untuk memulakan ‘kisah bersih’ di negara lain ternyata bukan satu perihal yang senang buat Joe atau Will atau Jonathan itu.

Di mana sahaja berada, dia pasti mengundang musibah. Musibah yang terus menguatkan jenamanya sebagai seorang pembunuh bersiri.

Sinergi karakter antara Penn Badgley dan Charlotte Ritchie sebagai pemain utama musim siri You kali ini wajar diberikan pujian.

Karakter

Berbanding musim terdahulu, dari segi terjemahan karakter, musim kali ini kurang impak, sehinggakan penulis secara peribadi, terasa ingin menghentikan tontonan ketika menyaksikan dua episod pertama.

Apatah lagi, ingin menghabiskan bahagian 2 musim kali ini yang sedikit berselirat dari segi jalan cerita.

Permainan karakter pelakon terlibat kurang memberi dampak berbanding barisan pelakon musim terdahulu.

Sungguhpun begitu, Penn Badgley kekal memainkan karakter utama, Joe Goldberg atau Jonathan Moore dengan cemerlang.

Pelakon Inggeris, Charlotte Ritchie memainkan karakter bernama Kate Galvin.

Watak-watak baharu yang diperkenalkan seperti Kate Galvin, Lady Phoebe dan Nadia Farran juga tidak mengecewakan, namun entah mengapa, terasa semacam kurang ‘mengena’.

Dari segi jalan cerita atau naratif, sebenarnya terlalu banyak perkara yang ingin diterjemahkan dalam musim kali ini.

Ada penonton barangkali gemar dengan pendekatan sebegitu dan ada yang sebaliknya.

Sebagai sebuah naskhah pembunuhan, musim kali ini paling ekstrem. Jadi, memang tak sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Tak percaya, tonton sendiri seawal episod pertama atau kedua sudah ada pembunuhan ‘luar kotak’ yang sukar dihadam minda.

Secara keseluruhannya, You masih berjaya mengekalkan kecemerlangan. Ramai yang barangkali masih kurang faham mengapa naskhah berkenaan sampai bermusim-musim. Jawapannya, selagi Joe Goldberg masih berkeliaran dan tidak dibawa ke muka pengadilan, selagi itulah cerita ini tidak akan tamat.

Penn Badgley adalah antara pelakon yang cukup bijak bermonolog dan itu dibuktikan lagi dalam musim terbaharu You. Tiada dua, tiada galang gantinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI