PETALING JAYA – Bekas pemain skuad kebangsaan era 1980-an, Azhar Sharif telah menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Selayang pada pukul 4.30 pagi tadi.
Allahyarham yang berumur 58 tahun meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar serta komplikasi jantung.
Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buloh, Selangor, hari ini.
Berita pemergian bekas pemain tengah itu turut disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kelab Selangor FC menerusi Facebook rasminya.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin. Al-Fatihah,” menurut FAM.
Sementara itu, Selangor FC berdukacita turut merakamkan ucapan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Allahyarham pernah menjadi tonggak utama pasukan Selangor sekitar era pertengahan 1980-an dan pernah mencatat nama sebagai penjaring gol ketika final Piala Malaysia 1984 dan 1986 untuk Selangor menjulang kejuaraan.
“Semoga Allah SWT merahmati rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” kata kenyataan skuad Gergasi Merah.
Pemain yang seangkatan dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari itu pernah membantu skuad Harimau Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 1986, selain pernah beraksi di Sukan Asia Seoul 1986 di Korea Selatan. – KOSMO! ONLINE