fbpx

Agong, Permaisuri berkenan lawat bazar Ramadan Tanjong Tokong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan mencemar duli melawat Bazar Ramadan Tanjong Tokong hari ini. Gambar oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

GEORGE TOWN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Bazar Ramadan Tanjong Tokong di sini hari ini.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan ketua-ketua jabatan kerajaan negeri Pulau Pinang pada pukul 4 petang tadi.

Kehadiran Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah itu jelas menceriakan kira-kira 1,000 pengunjung dan peniaga di bazar berkenaan malah baginda berdua turut mengedarkan bubur lambuk kepada para pengunjung yang bertuah di bazar berkenaan.

Baginda berdua berada di Pulau Pinang dalam lawatan tiga hari sehingga Sabtu inii dan dijadual berangkat menghadiri majlis berbuka puasa di Seri Mutiara di sini petang ini.

Seorang peniaga daging bakar dan kuih qasidah, Amerudin Shaharudin,32, berkata, melihat kelibat baginda berdua di bazar berkenaan merupakan detik manis yang tidak dapat dilupakan.

“Saya rasa amat gembira hari ini dapat melihat dan bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, malah Permaisuri turut membeli daging bakar dan kuih qasidah yang saya jual.

”Baginda Permaisuri beritahu kuih qasidah seperti ini juga merupakan kuih tradisi di Pahang, kehadiran baginda berdua ternyata menceriakan suasana di bazar Ramadan ini,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Tanjong Tokong di sini hari ini.

Seorang penjual satar, Mohd. Hanif Zairuddin, 27, berkata, dia sangat teruja apabila ternampak pasangan diraja itu melawat bazar Ramadan berkenaan petang ini.

“Saya bagaikan tidak percaya apabila melihat Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri berada di bazar ini, saya memang terkejut dan dalam masa yang sama saya sangat gembira.

“Baginda berdua amat mesra dengan para peniaga dan pengunjung, inilah kenangan yang tidak dapat saya lupakan sepanjang berniaga di bazar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI