fbpx

Afiq Muiz akhirnya muncul di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIQ Muiz (kanan) akhirnya tiba di mahkamah untuk tuntutan cerai secara fasakh daripada isterinya, Pachara Apin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, sebentar tadi. Foto - AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – “Harapan saya semoga semuanya berjalan lancar.”

Demikian harapan Pachara Apin atau nama Islamnya Nur Aaira Mahadeya, 32, berhubung permohonan tuntutan cerai secara fasakh ke atas suaminya yang juga seorang pelakon, Afiq Muiz di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.

Prosiding hari ini juga melibatkan keterangan dua saksi daripada pihak Pachara.

Menurut Pachara yang juga pelakon, proses tuntutan cerai secara fasakh tidak akan terganggu meskipun suaminya tidak menghadirkan diri ke mahkamah.

Bahkan, dia juga berharap agar sesi keterangan saksi yang akan berlangsung hari ini berjalan dengan lancar.

“Tak perlukan kehadiran (Afiq) sebab proses tuntutan akan tetap berjalan.

“Doakan yang baik-baik untuk semua yang berlangsung hari ini,” katanya yang diwakili oleh peguam syarie, Suriati Ab. Ghani.

Suriati ketika ditemui media pula memberitahu kehadiran Afiq juga boleh melambatkan proses tuntutan cerai secara fasakh oleh isterinya kerana akan melibatkan prosiding pendengaran membela diri.

“Dia (Afiq) ada beri kenyataan sebelum ini hendak selesaikan secara baik.

“Namun jika dia hadir, kes ini akan ambil masa yang lama untuk selesai kerana melibatkan banyak proses lain,” ujarnya.

Sementara itu, Afiq yang hadir ke mahkamah sekitar pukul 11 pagi tadi enggan memberikan sebarang komen berhubung prosiding yang berlangsung hari ini.

“Setakat ini saya tak boleh beri sebarang komen,” ujarnya.

Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.

Antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.

Terdahulu, pada 29 Mac lalu, Pachara memberitahu suaminya langsung tidak memberi kerjasama untuk tuntutan perceraian tersebut selain tidak hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.

Sebelum ini, Pachara dalam satu pendedahannya memberitahu Afiq pernah mengasarinya sehingga membuatkan kaki serta jarinya patah.

Kenyataan tersebut kemudiannya meraih komen balas adik Afiq iaitu pelakon, Aishah Azman yang bengang dengan tindakan Pachara membuat kenyataan palsu dalam media sosial.

Tidak menunggu lama, Afiq kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Dengkil pada 30 November tahun lalu bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah.

Untuk rekod, Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI