SEBERANG PERAI – Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas dakwaan menjalankan transaksi mesin perjudian tahun lalu.
Tan Gaik See, 47, dan Lee Eng Kah,43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rosnee Mohd. Radzuan.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya tertuduh didakwa menguruskan dan mengadakan transaksi dengan 17 buah mesin judi pada 28 Disember lalu kira-kira pukul 4.18 petang di Econsave, kawasan perindustrian Teras Jaya.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 seorang dengan seorang penjamin.
Sementara itu di mahkamah sama, lima lelaki mengaku tak bersalah atas pertuduhan berjudi atas talian di rumah judi terbuka pada 28 Disember lalu.
Kelima-lima tertuduh yang berusia antara 23 sehingga 62 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumah judi terbuka di tempat dan masa yang sama.
Rosnee kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 seorang dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’ ‘Amira Shahidani manakala ketujuh-tujuh tertuduh diwakili peguam bela Ang Chun Pun. Mahkamah kemudiannya menetapkan 31 Mei depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE