KUALA LANGAT – Cubaan seorang tekong melarikan diri bersama bot dinaiki 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) nyaris membuatkan mereka maut selepas bot dinaiki terkandas sebelum karam di sekitar perairan Pantai Kelanang di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi, kesemua PATI Indonesia berusia 26 hingga 60 tahun sedang menyusup masuk ke negeri ini sebelum diberkas Maritim Malaysia (APMM).
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penyusupan PATI itu dikesan menerusi maklumat risikan berhubung kehadiran sebuah bot mencurigakan di perairan itu.
“Sebuah bot ronda telah atur gerak bagi tujuan pemintasan namun bot PATI itu cuba meloloskan diri. Insiden itu menyebabkan berlaku adegan kejar hampir 30 minit sebelum bot itu terkandas dan hampir tenggelam.
“Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati semua warga asing termasuk lima wanita itu tiada dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siva Kumar menjelaskan bot yang bocor tidak dapat diselamatkan dan tenggelam di lokasi kejadian.
“Kesemua yang ditahan dipindahkan ke bot ronda Maritim Malaysia sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
“Siasatan mendapati PATI dari Tanjung Balai, Indonesia itu menyusup masuk secara haram dengan bayaran RM 1,500 seorang,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1953/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).