SHAH ALAM – Seluruh masjid dan surau di Selangor akan melaksanakan solat hajat selepas solat Jumaat minggu ini untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin susulan serangan rejim Zionis Israel di Masjid Al-Aqsa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini sebagai tanda solidariti kepada mangsa serangan tersebut yang menyebabkan sekurang-kurangnya 12 orang cedera serta menahan lebih 350 rakyat Palestin.
“Kerajaan negeri dan rakyat Selangor mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang menyerang umat Islam Palestin di Masjid Al-Aqsa.
“Tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan ini diaturkan ketika jemaah Palestin menunaikan solat di Masjid Al Aqsa pada hari Rabu lalu,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Amirudin, tindakan kejam ini telah kerap berulang, terutamanya pada bulan Ramadhan seperti yang berlaku pada April tahun lalu.
Justeru, kata beliau, Kerajaan Selangor menyatakan solidariti bersama warga Palestin dan mengajak pemimpin seluruh dunia untuk bersama-sama mengutuk dan mengecam serangan ke atas rumah ibadat.
“Ini sebuah tindakan provokasi yang menyalahi undang-undang antarabangsa dan prinsip hak asasi manusia, terutamanya pada bulan yang penuh mustajab ini,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE