fbpx

Saya nak RM50,000, Sanusi beri RM120,000 – Mahfuz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Datuk Mahfuz Omar menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan yang meme­rintahkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor membayar ganti rugi RM120,000 kepadanya dapat menjadi pengajaran kepada Menteri Besar Kedah itu agar tidak bercakap sesuka hati.

Menurut Mahfuz, beliau bersyukur dengan keputusan tersebut yang disifatkan telah membuktikan kebenaran.

“Dalam kes ini, Muhammad Sanusi yang terlebih dahulu bawa kes ke Mahkamah Rayuan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan dia membayar ganti rugi RM50,000 kepada saya.

“Saya kemudian buat rayuan balas dan alhamdulillah kuantum ganti rugi dinaikkan kepada RM120,000. Sudah tentu saya bersyukur, ia jelas membuktikan saya difitnah.

“Jadi di pihak Muhammad Sanusi, saya harap beliau belajar agar tidak sewenang-wenangnya bercakap,” kata bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu semalam.

Panel tiga hakim, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong kelmarin membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan kepada RM120,000.

Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman berhubung hantaran Muhammad Sanusi di Facebooknya yang mengaitkan beliau selaku wakil rakyat Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu menerbitkan video di Facebook pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan cawangan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk tertera nama plaintif.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Muhammad Sanusi harus sedar tindakan bercakap sesuka hati itu tidak hanya memberi kesan kepada diri sendiri, malah orang lain terma­suk rak­yat Kedah.

Sebagai contoh, katanya, dalam isu sewaan Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, kenyataan Muhammad Sanusi didakwa boleh menjejaskan reputasi MAEPS yang selama ini banyak terlibat dengan program besar ketika Mardi Corporation Sdn. Bhd. mengesahkan pihak­nya belum mengeluarkan surat setuju terima daripada penganjur majlis iftar anak-anak Kedah bersama Menteri Besar Kedah

Sementara itu, Muhammad Sanusi menegaskan, beliau akan berusaha membayar ganti rugi kerana ia merupakan tanggungjawabnya, namun pada masa sama menyatakan tidak sesekali mengendurkan perjuangan dengan membiarkan rakyat Kedah menjadi kaki judi.

“Apabila sudah didapati bersalah, jadi tanggungjawab saya melunaskan tuntutan mereka. Saya akan berusaha membayar berapa pun jumlahnya.

“Ambil mudah atau mengendurkan tekad perjuangan hanya kerana kepentingan politik, takut hilang sokongan atau membiar­kan rakyat negeri ini terjebak jadi kaki judi tidak sekali-kali,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI