GUA MUSANG – Seorang pemandu lori yang membawa muatan mentega maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 37, Jalan Gua Musang-Jeli dekat Kampung Meranto di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu, mangsa, Abdul Yasak Mat, 40, yang memandu lori jenis Isuzu meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, lori yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Jeli.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, lori tersebut dipercayai masuk ke laluan bertentangan ketika mengambil selekoh.
“Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung dan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Selain itu, ratusan bekas mentega yang dibawa di dalam lori mangsa jatuh bertaburan di atas permukaan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat.
Menurutnya, pemandu lori balak berusia 51 tahun cedera pada bahagian kaki akibat tersepit dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE