PETALING JAYA – Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) akan melanjutkan tajaan seorang atlet triatlon wanita yang cemerlang untuk bersaing di pertandingan Ironman antarabangsa pada bulan Oktober ini bersesuaian dengan usaha syarikat untuk menyokong penglibatan wanita dalam bidang sukan.
Pengarah Kanan, Bahagian Komersial, PayNet, Khairuan Abdul Rahman berkata, tajaan ini menunjukkan komitmen syarikat terhadap kesaksamaan jantina dalam bidang sukan dan menekankan tumpuan PayNet terhadap pemasaran terangkum.
PayNet sebelum ini telah menaja tiga atlet triatlon wanita iaitu Noor Zakira Binti Zulrimi, 31 tahun, Serena Yang Chen Yin, 30 tahun, dan Teoh Sue Ling, 43 tahun untuk bersaing dalam Ironman Malaysia 2022 dan IRONMAN 7.0 Langkawi pada 5 November 2022.
Hanya Noor Zakira berjaya melayakkan diri untuk bertanding di Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii pada 14 Oktober 2023.
Tajaan PayNet adalah dalam bentuk kit pakaian sukan lengkap berjenama ‘DuitNow’ dan pembiayaan sebahagian daripada perbelanjaan untuk bersaing dalam perlumbaan di Hawaii.
Semua ini dijangka membolehkan Noor Zakira memberikan tumpuan penuh untuk membuat persiapan fizikal dan mental untuk mencapai prestasi optimum.
“Kami berbesar hati kerana diberi peluang menaja wanita-wanita luar biasa ini. Sesungguhnya pencapaian mereka adalah sejajar dengan nilai-nilai jenama kami yang merangkumi keberanian, keyakinan dan kecekalan.
“Matlamat ini juga termasuk memberikan peluang saksama dalam bidang sukan. PayNet berharap untuk melakukan sesuatu yang bermakna untuk meningkatkan profil pertandingan yang sangat mencabar ini sebagai inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk menjadi atlet triatlon,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
PayNet, penyedia infrastruktur pembayaran runcit negara in yang mengendalikan kemudahan pembayaran digital kegunaan umum seperti DuitNow, DuitNow QR, MyDebit dan JomPAY, telah memilih triatlon kerana sukan ini berkait rapat dan sejajar dengan nilai-nilai korporat PayNet.
Ironman adalah satu pertandingan menguji daya tahan yang bermula pada 1978 melibatkan larian jarak jauh, berbasikal dan berenang.
Acara litar, jarak, cabaran dan peraturan sama diguna pakai bagi peserta lelaki dan wanita.
Penyertaan wanita bermula pada 1979 dan bilangan peserta wanita telah bertambah sejak itu. -KOSMO! ONLINE