fbpx

Mogok bukan jalan penyelesaian isu doktor kontrak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RIBUAN doktor kontrak di seluruh negara mahu hak dan kebajikan mereka didengari oleh kerajaan.

KOTA BHARU – Mogok bukan suatu jalan penyelesaian yang terbaik terhadap segala permasalahan yang timbul berkaitan kumpulan doktor berstatus kontrak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, pihaknya berharap agar doktor yang terlibat dapat bersabar dan memberi ruang kepada pihak yang terlibat untuk menyelesaikan perkara tersebut.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa berusaha untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan dengan doktor yang berstatus kontrak.

“Kerajaan dan KKM bukan tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah ini, namun masih banyak lagi perkara yang perlu diteliti sebelum ia diselesaikan. Kita berharap doktor kontrak dapat bersabar.

“Mogok ini tentu sekali akan melibatkan banyak pihak termasuk keselamatan pesakit. Jadi, kita mempunyai cara lain selain mogok untuk menyelesaikan segala permasalahan,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Kempen Perhati dan Pilih Bazar Ramadan 2023 di pekarangan bazar Ramadan Mydin Mall, Tunjong di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung mogok daripada kira-kira 1,400 doktor kontrak di Kelantan.

Kosmo! Online semalam melaporkan, kerajaan komited untuk menyerap seramai 12,800 doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun bermula dengan hampir 4,300 pegawai kontrak diserap sebagai lantikan tetap pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI