SHAH ALAM – Pelakon Diana Danielle dan suaminya Farid Kamil hadir di Mahkamah Tinggi Syariah di sini bagi sebutan hadanah (hak penjagaan) dua anak mereka Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.
Prosiding ini berlangsung di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.
Diana selaku pemohon diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Farid selaku responden diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Sebelum ini peguam syarie memaklumkan Diana memperoleh hadanah interim (hak penjagaan sementara) dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 24 Mac lalu.
Keputusan berkenaan dibuat selepas anak guamnya membuat permohonan hadanah sehari sebelum itu.
Sebelum ini, Farid dalam prosiding terdahulu, mendakwa dirinya tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, sejak awal bulan ini.
Pada tempoh sama, difahamkan Farid juga tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.
Terdahulu Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini menetapkan 30 Mei bagi Farid dan Diana memaklumkan kepada mahkamah laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pasangan itu.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, telah melantik pengurus bagi mewakili dirinya manakala Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, pula melantik kakaknya.
Diana sebelum ini, mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan) selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasannya untuk bercerai pelakon Diana dalam suaminya.
Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama sebenarnya Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. – KOSMO! ONLINE.