KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini menetapkan 24 Mei ini bagi pengurusan kes permohonan nusyuz bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap isterinya, Elly Afizahwati Abdul Jalil.
Peguam syarie, Datuk Hazizah Kassim yang mewakili Elly Afizahwati, ketika ditemui berkata, mahkamah menetapkan tarikh itu bagi membolehkan pihaknya melengkapkan dokumen-dokumen yang diperlukan dan penyerahan dokumen terbabit kepada plaintif (Musa).
“Kita juga akan mengemukakan tuntutan balas ke atas pihak belah sana. Kita ikut sahaja perjalanan kes ini nanti. Untuk tarikh akan datang ini, kita akan serahkan dokumen dan melengkapkan apa yang patutnya,” katanya.
Sementara itu, Musa, 72, yang turut hadir memberitahu sejak isu ini dibawa ke mahkamah, beliau tidak lagi berkomunikasi dengan isterinya itu.
“Tiada apa pun setakat ini, tidak bercakap pun. Kita ikut sahajalah prosedur mahkamah,” katanya sebelum meninggalkan pekarangan mahkamah.
Terdahulu Musa memfailkan nusyuz terhadap isterinya atas alasan wanita itu ingkar dan tidak taat.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tuntutan cerai, Elly Afizahwati, 42, berkata, dia tidak mengubah keputusannya.
Sebelum ini, Elly Afizahwati memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 30 Mac lalu.
Ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun, yang juga bekas ahli perniagaan, memfailkan permohonan berkenaan kerana shiqaq (perbalahan berpanjangan).
Untuk rekod, pasangan ini berkahwin pada 2 Ogos 2013 lalu dan dikurniakan seorang anak. – KOSMO! ONLINE